WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak mandat yang ditetapkan oleh Presiden Joe Biden yang menyaksikan para pekerja di syarikat besar perlu mengambil suntikan vaksin Covid-19, memakai pelitup muka dan melakukan ujian saringan setiap minggu.
Malahan, semua kos perbelanjaan ujian saringan itu perlu ditanggung sendiri oleh pekerja.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan, mandat yang diperkenalkan pada November lalu sebagai ‘melebihi bidang kuasa pentadbiran Biden’.
Keputusan itu jelas mengecewakan Biden yang sebelum ini sudah pun menerima banyak kritikan berhubung prestasinya ‘menjaga kerajaan AS’.
Biden menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai ‘menyekat keperluan menyelamatkan nyawa’.
“Saya menggesa semua pemimpin perniagaan supaya mengikuti mandat tersebut sebagai langkah untuk melindungi pekerja mereka, pelanggan dan komuniti,” katanya sebelum ini.
Bekas Presiden AS, Donald Trump pula ‘bersorak’ dengan keputusan tersebut dan menegaskan mandat vaksin hanya merosakkan ekonomi negara ini.
“Kami amat bangga dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Agung. Tiada mandat! katanya dalam kenyataan.
Mandat itu melibatkan mana-mana syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 100 pekerja dan secara keseluruhannya melibatkan 84 juta pekerja di seluruh AS.
Kenyataan mahkamah menyebut Covid-19 boleh menular di mana-mana sahaja, termasuk sekolah, rumah, aktiviti sukan dan perhimpunan ramai.
“Risiko itu (jangkitan Covid-19) tiada beza dengan mana-mana ancaman jenayah, pencemaran udara atau sebarang penyakit.
“Mandat itu lebih dilihat kepada ‘pencerobohan dalam kehidupan dan kesihatan para pekerja’,” menurut kenyataan itu.