TOKYO: Seorang lelaki Jepun ditahan kerana cuba membunuh seorang doktor yang sebelum itu dijadikan tebusan.
Stesen penyiaran NHK melaporkan, suspek turut menembak seorang jururawat mengakibatkannya cedera parah ketika dia mengurung doktor tersebut.
Namun, doktor berusia 44 tahun itu mengalami serangan jantung ketika dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketika kejadian, doktor berkenaan bersama jururawat dan seorang petugas kebajikan pergi ke rumah suspek untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang daripada ahli keluarganya yang meninggal dunia.
Kejadian yang berlaku di bandar Fujimino itu menyaksikan suspek menggunakan pistol untuk menjadikan doktor tersebut sebagai tebusan, selain melepaskan semburan lada terhadap petugas kebajikan.
Polis menggunakan telefon untuk berunding dengan suspek bagi melepaskan doktor tersebut sebelum pengamal perubatan itu dapat diselamatkan.
Dalam pada itu, polis enggan mengulas lanjut berhubung insiden itu dan akan menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kes jenayah melibatkan senjata api jarang berlaku di Jepun memandangkan penggunaannya dikawal ketat. – AFP