PARIS: Jangkitan bakteria yang kebal antibiotik meragut lebih 1.2 juta nyawa di seluruh dunia pada 2019.
Berdasarkan kajian penyelidik dari Universiti Washington, jumlah kematian itu lebih tinggi berbanding kematian yang disebabkan oleh HIV/AIDS atau malaria.
Ketua penyelidik, Chris Murray berkata, data tersebut menunjukkan ancaman yang jelas menanti penduduk di seluruh dunia dan merupakan isyarat untuk mengambil pendekatan segera bagi mengawal krisis itu.
Kajian terdahulu meramalkan, jangkitan bakteria boleh meragut sehingga 10 juta nyawa menjelang 2050, namun Murray memaklumkan, angka itu boleh dicapai dalam tempoh terdekat.
“Kita perlu memanfaatkan data ini untuk tindakan yang sewajarnya, terutamanya jika kita komited untuk menentang rintangan antimikrob,” katanya.
Data itu diperoleh dari 204 negara dan wilayah berdasarkan sistem kesihatan awam, pemantauan rangkaian farmasi dan kajian terdahulu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan jangkitan bakteria anti antibiotik itu sebagai krisis kesihatan global.
Badan pertubuhan itu juga membangunkan satu pasukan tindakan bagi mengkaji rawatan alternatif untuk membendung krisis tersebut. – AFP