MANILA: Golongan pengembara ke negara ini yang gagal mematuhi protokol kurantin Covid-19 boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sebanyak 50,000 peso (RM4,076).
Amaran itu dikeluarkan selepas seorang rakyat Filipina yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) melanggar peraturan kuarantin hanya untuk menghadiri parti di Makati City pada Disember lalu, sebelum disahkan positif Covid-19.
Menerusi satu temu bual, jurucakap pejabat presiden, Karlos Nograles berkata, jangan ada pihak yang berani melanggar peraturan tersebut kerana kesannya menjejaskan banyak pihak.
“Jika ada di antara anda cuba melanggar peraturan kuarantin, jangan sesekali lakukannya kerana kami sentiasa perhatikan anda.
“Disebabkan insiden yang berlaku, kami akan menggunakan undang-undang untuk membetulkan keadaan (menangani pandemik Covid-19),” katanya seperti yang dilapor Arab News.
Selain itu, pihak berkuasa negara ini turut mengesan beberapa lagi pengembara dari AS yang tidak menjalani kuarantin selepas tiba di Filipina.
Sehubungan itu, pasukan polis akan melakukan pemeriksaan di beberapa hotel yang dijadikan pusat kuarantin di seluruh negara bagi memastikan ‘keadaan berjalan lancar’.
Sementara itu, Setiausaha Kementerian Kesihatan Filipina, Maria Rosario Vergeire berkata, negara ini sekali lagi berdepan dengan gelombang jangkitan Covid-19 baharu.
Katanya, kes jangkitan yang naik mendadak menyaksikan Filipina dikategorikan sebagai negara berisiko.