BANGKOK: Suasana sebuah pekan di Lopburi yang terletak 144 kilometer di utara Bangkok hingar-bingar dengan kehadiran sekumpulan monyet yang ‘mengganas’ dengan mengambil minuman manis sambil menjamah pisang di kawasan jalan.
Pekan itu sememangnya dikenali dengan populasi monyet dalam kalangan pelancong seluruh dunia dan penduduk tempatan sering menganjurkan festival tahunan sebagai penghormatan terhadap haiwan itu.
Namun, sejak pelancong mula mengunjungi semula Thailand selepas perintah sekatan Covid-19 dilonggarkan November lalu, bilangan monyet semakin berganda dan mereka dilihat berkeliaran sana sini selain ‘ketagih’ makan serta minuman manis.
Rakaman gambar menunjukkan berpuluh-puluh monyet memenuhi kawasan jalan, melompat atas cermin kereta, memanjat ke arah manusia serta mencuri makanan dan barang kepunyaan individu.
Penduduk tempatan juga dilihat menghulurkan tiub plastik berisi gula dan sirap untuk dihisap oleh monyet sehingga kering.
Situasi monyet tidak berasa takut terhadap manusia menunjukkan haiwan itu sudah mempamerkan tingkah laku yang sangat berani.
Kerajaan Thailand difahamkan berusaha mengawal populasi monyet liar sejak beberapa tahun lalu, namun gagal membendung bilangan haiwan itu yang semakin berganda.
Perintah berkurung akibat Covid-19 sebelum ini memberikan ruang lebih banyak kepada monyet bergerak bebas di sekitar bandar itu, ditambah dengan situasi penduduk tempatan yang sering memberikan makanan walaupun tanpa kehadiran pelancong.