SYDNEY: Kes kematian pertama disahkan akibat letusan gunung berapi dasar laut di Tonga sehingga mencetuskan tsunami yang membadai pesisir pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat, sejak Sabtu lalu.
Lapor AFP, kematian melibatkan seorang wanita Britain yang dihanyutkan ombak tsunami setinggi 1.2 meter yang membadai kawasan darat bandar ibu negara Tonga, Nukualofa.
Mangsa, Angela Glover, 50, tinggal di Nukualofa bersama suaminya, James, dan abangnya, Nick Eleini, lapor media Britain.
Pihak berkuasa memaklumkan dua wanita turut lemas sejak bencana berlaku Sabtu lalu di utara Peru akibat ombak besar selepas letusan gunung berapi.
Dalam salah satu komunikasi dengan dunia luar yang dikesan, dua ahli biologi marin Mexico yang terkandas meminta bantuan daripada kerajaan negara itu untuk menggunakan telefon satelit yang disediakan oleh kedutaan Britain bagi menghubungi ahli keluarga mereka.
“Mereka berteduh di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang dan meminta bantuan kami untuk meninggalkan pulau itu,” kata Amelia Nava, kakak kepada Leslie Nava.
Semasa bencana alam itu berlaku, penduduk memberitahu mereka terpaksa berlari ke kawasan tanah tinggi dan meninggalkan kediaman yang musnah ketika batuan kecil serta abu jatuh dari langit.