NAIROBI: Pengunjung dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dibenarkan masuk ke Kenya selepas negara Afrika Timur itu menarik balik larangan dikenakan ke atas semua penerbangan.
Lapor BBC, Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA), Gilbert Kibe berkata, larangan itu ditarik balik pada malam Isnin.
Sebelum ini, Kenya menyekat semua penerbangan penumpang dari UAE pada 10 Januari lalu.
Tindakan balas itu dibuat berikutan UAE mengenakan larangan terhadap semua penerbangan penumpang dari Kenya selepas beberapa pelancong negara itu didakwa positif Covid-19 ketika tiba di Dubai namun mempunyai dokumen kononnya mereka tidak dijangkiti virus tersebut.
Larangan itu bagaimanapun tidak menjejaskan penerbangan kargo.
Setakat ini, UAE masih belum menarik balik sekatan penerbangan Kenya. – AGENSI