Kazakhstan berdepan konflik terbesar sejak beberapa dekad - Utusan Malaysia

Kazakhstan berdepan konflik terbesar sejak beberapa dekad

SEJUMLAH kenderaan hangus terbakar akibat rusuhan ganas oleh penunjuk perasaan di Almaty, Kazakhstan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALMATY: Bunyi tembakan dapat didengar di beberapa jalan utama di bandar ini ketika pasukan tentera Rusia tiba di Kazakhstan bagi membantu meredakan konflik yang berlaku.

Pertempuran ganas terus berlangsung di Almaty, sehari selepas penunjuk perasaan menyerbu bangunan pejabat kerajaan.

Media tempatan melaporkan, pasukan keselamatan berjaya menyuraikan penunjuk perasaan di bahagian tengah bandar ini dan di beberapa bangunan kerajaan, namun insiden berbalas tembakan masih berlaku.

Kazakhstan berdepan dengan ketegangan terbesar dalam tempoh beberapa dekad selepas siri protes yang membantah kenaikan harga bahan api.

Pertempuran antara pasukan bersenjata dengan pasukan keselamatan negara menyaksikan 748 anggota keselamatan cedera dan 18 terbunuh dengan dua daripadanya dipancung kepala.

Selain itu, sekurang-kurangnya 26 anggota pasukan bersenjata terbunuh dan 18 cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

 

SUNGGUH MENAKUTKAN

Sejumlah kenderaan hangus terbakar dapat dilihat di sepanjang jalan utama di Almaty, dengan banyak bangunan kerajaan dirosakkan, termasuk kawasan kediaman presiden diserbu oleh penunjuk perasaan.

“Saya tidak sangka orang kita boleh bertukar menjadi amat menakutkan,” kata seorang guru tadika, Samal.

Ketegangan yang berlaku menyaksikan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev memohon bantuan daripada Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) untuk memerangi kumpulan bersenjata yang didakwa memburukkan lagi situasi di negara ini.

CSTO dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan tentera pengaman sudah tiba di Kazakhstan untuk menstabilkan semula situasi di negara ini.

 

LEBIH 2,000 DITAHAN

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Kazakhstan memaklumkan, polis sudah menahan kira-kira 2,300 orang setakat ini.

Pihak berkuasa juga memaklumkan, lebih 1,000 orang cedera dalam protes yang berlaku dengan hampir 4,00 dimasukkan ke hospital dan 62 menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Konflik yang berlaku turut menjejaskan sistem komunikasi di negara ini, menyaksikan isyarat telefon dan internet gagal berfungsi.

Kassym-Jomart sebelum ini cuba meredakan ketegangan dengan mengumumkan pembubaran Kabinet pimpinannya pada Rabu lalu, namun perkara itu gagal menyekat kemarahan rakyat.

 

REVOLUSI

Ketika tunjuk perasaan terus tercetus, pihak berkuasa Kazakhstan mengisytiharkan perintah darurat di seluruh negara sehingga 19 Januari.

Perintah darurat itu menyaksikan penduduk di negara ini diarahkan berkurung di dalam rumah, sekatan pergerakan dan tidak dibenarkan membuat sebarang perhimpunan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Semalam, kerajaan mengumumkan harga baharu bagi bahan api selama enam bulan dan menyifatkan langkah itu diperlukan untuk menstabilkan situasi ekonomi Kazakhstan.

Selain itu, konflik yang berlaku juga bagi menunjukkan kemarahan rakyat terhadap bekas presiden Nursultan Nazarbayev yang meletak jawatan pada 2019 dan tempatnya digantikan oleh Kassym-Jomart.

Banyak penunjuk perasaan melaungkan ‘lelaki tua, sila keluar dari negara ini!’ sambil merujuk kepada Nursultan yang mentadbir Kazakhstan sejak 1989.

 

BARAT BIMBANG

Sementara itu, banyak negara Barat menzahirkan kebimbangann mengenai situasi di Kazakhstan dengan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price memberi amaran kepada Rusia supaya tidak ‘mengganggu institusi negara ini’ selepas ketibaan tentera negara itu untuk membantu Kazakhstan.

“AS dan semua negara akan memperhatikan supaya tidak berlaku pencabulan hak asasi manusia di Kazakhstan,” kata Price.

 

TOLAK RUNDINGAN

Dalam pada itu, Kassym-Jomart menolak gesaan untuk berunding dengan penunjuk perasaan, sebaliknya mengarahkan pasukann keselamatan untuk mengambil tindakan sekiranya mereka enggan mematuhi arahan.

“Kumpulan pengganas (merujuk kepada kumpulan bersenjata) terus merosakan harta benda dan menggunakan senjata terhadap penduduk awam.

“Saya sudah memberi arahan kepada pasukan keselamatan supaya mengambil tindakan terhadap mereka, termasuk melepaskan tembakan tanpa amaran,” tegasnya.

Beliau juga menyifatkan gesaan rundingan itu sebagai tidak masuk akal dan tidak akan berjaya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya