LONDON: Penemuan kesan gigitan luar biasa pada bahagian badan seekor jerung putih mencetuskan kebimbangan kemungkinan spesies Megalodon sudah kembali ke lautan.
Lapor Daily Star, seorang penyelam, Jalil Najafov mengesan jerung putih sepanjang kira-kira 4.5 meter itu dengan kesan gigitan besar pada badannya di luar Isla Guadalupe di Mexico.
Luka serius pada badan ikan jerung putih terbabit mencetuskan tanda tanya mengenai punca kejadian yang berlaku.
Ketika para pakar melontarkan pandangan masing-masing berhubung mengapa ikan jerung mengigit spesiesnya sendiri, pengguna media sosial menawarkan teori yang lebih menakutkan.
Hantaran yang dimuat naik di instagram Najafov membawa kepada spekulasi gigitan itu mungkin dilakukan oleh jerung spesies Megalodon.
Megalodon merupakan spesies jerung purba yang dianggap sebagai satu daripada pemangsa paling besar dan kuat yang pernah hidup di muka bumi.
“Saya sangat terkejut kerana saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dalam hidup saya,” kata Najafov.
Fosil paling biasa yang ditemukan oleh ahli arkeologi adalah gigi makhluk itu yang lebih besar berbanding gigi jerung yang dilihat sebelum ini.
Ini menunjukkan spesies Megalodon adalah jauh lebih besar daripada mana-mana jerung ketika ini, lapor Express.co.uk – AGENSI