PARIS: Moscow dan Kyiv semalam mencapai persetujuan untuk mengekalkan gencatan senjata di timur Ukraine menerusi perbincangan selama lebih lapan jam yang diadakan di sini.
Peningkatan kehadiran tentera Rusia di sempadan negara itu dengan timur Ukraine mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak bahawa Kremlin bakal menyerang Ukraine dalam tempoh terdekat.
Namun, maklumat dari pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendedahkan, rundingan yang dilakukan itu bertujuan mencapai kata putus mengenai krisis kumpulan pemisah di timur Ukraine sejak 2014, bukannya mengenai ancaman Rusia untuk menyerang Ukraine.
Bagaimanapun, persetujuan itu menunjukkan Rusia masih mahu ‘bertolak ansur’, sekali gus menjadi isyarat baik dalam krisis yang berlaku melibatkan kedua-dua negara tersebut.
Buat pertama kali sejak 2019, Ukraine dan Rusia bersetuju menandatangani kenyataan bersama, sekali dengan Perancis dan Jerman mengenai konflik berterusan antara pasukan tentera Ukraine dan kumpulan pemisah Rusia di timur negara itu.
Keempat-empat negara itu bertungkus-lumus mencapai rundingan damai untuk meredakan konflik yang berlaku sejak 2014 dan usaha kolektif itu dikenali sebagai Kumpulan Normandy.
Kenyataan bersama itu memaklumkan, kedua-dua negara sudah bersetuju untuk mengekalkan gencatan senjata dan bakal mengadakan pertemuan dalam tempoh dua minggu akan datang di Berlin.
Gencatan senjata yang dilaksanakan sejak 2020 itu menamatkan pertempuran antara dua kumpulan pemisah di timur Ukraine yang setakat ini meragut kira-kira 13,000 nyawa.
Beberapa negara Barat sebelum ini menzahirkan kebimbangan Rusia mungkin menggunakan krisis yang berlaku untuk melancarkan serangan menawan Ukraine.
BUKAN MUDAH CAPAI PERSETUJUAN
Wakil Kremlin, Dmitry Kozak berkata, rundingan empat penjuru termasuk Perancis dan Jerman itu bagi memastikan gencatan senjata yang dipersetujui dapat dilakukan.
“Biarpun terdapat perbezaan pandangan, kami bersetuju untuk mengekalkan gencatan senjata di timur Ukraine melibatkan semua pihak yang termaktub dalam rundingan berkenaan.
“Kami juga berharap rundingan lanjut di Berlin akan datang bakal memberi hasil yang baik,” katanya.
HALANG UKRAINE SERTAI NATO
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) menolak desakan Rusia untuk menghalang Ukraine menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menegaskan negara itu sebenarnya sudah bersedia untuk menawan Ukraine pada bila-bila mana.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memaklumkan, beliau akan bertemu sekali lagi dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov untuk berbincang tentang isu berkenaan.
“Ancaman yang dicetuskan oleh Rusia terhadap Ukraine menyebabkan Rusia berdepan dengan ‘laluan diplomatik’ yang sukar,” katanya.
Sehubungan itu, AS menawarkan beberapa langkah ‘timbal balik’ untuk menangani kebimbangan keselamatan yang disuarakan oleh Barat iaitu Rusia perlu mengurangkan penghasilan peluru berpandu di Eropah dan bersikap lebih telus mengenai latihan ketenteraan yang diadakan.
Selain itu, Blinken menegaskan, AS ‘tidak akan melayan’ desakan Rusia untuk menghalang Ukraine daripada menyertai NATO.
“Daripada perspektif kami, sudah jelas menunjukkan pintu NATO sentiasa terbuka dan kekal terbuka serta itulah komitmen kami,” tegasnya.
DIALOG
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg menggesa Rusia supaya ‘meredakan keadaan dalam kadar segera’ dan menegaskan semua perkara yang tidak dipersetujui perlu diselesaikan menerusi sesi dialog.
LANGKAH RUSIA
Sementara itu, Rusia dilaporkan melakukan latihan ketenteraan baharu di daratan dan di Laut Hitam, selain menggerakkan pasukan tentera payung terjun serta jet pejuang ke Belarus.
Ukraine mendakwa Rusia cuba menimbulkan panik biarpun negara itu belum lagi ‘mengumpulkan pasukan mencukupi untuk melancarkan serangan berskala besar’, manakala AS mendakwa Moscow mungkin menyerang Kyiv pada Februari ini. – AFP/REUTERS