LONDON: Dua remaja di United Kingdom (UK) ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden empat inidvidu dijadikan tebusan di sebuah rumah ibadat Yahudi di Colleyville, Texas, Amerika Syarikat (AS).
Polis Britain dalam satu kenyataan memaklumkan, pegawai dari Pasukan Anti Keganasan North West membuat dua penangkapan susulan insiden tersebut.
“Dua remaja ditahan di selatan Manchester untuk disoal siasat,” jelas kenyataan itu.
Berdasarkan kenyataan yang dikongsi dalam Twitter, polis Britain turut menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa AS berhubung kes berkenaan.
Semalam, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenal pasti suspek yang menjadikan empat orang sebagai tebusan dpada Sabtu lalu sebagai Malik Faisal Akram berusia 44 tahun dan merupakan rakyat Britain.
Agensi itu memberitahu, Malik Faisal bertindak seorang diri dalam insiden tersebut.
Terdahulu, suspek mendakwa dirinya sebagai abang kepada pengganas yang disabit kesalahan, Aafia Siddiqui.
Aafia merupakan seorang wanita Pakistan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan al-Qaeda dan kini dihukum penjara 86 tahun kerana membunuh anggota tentera AS di Afghanistan. – BERNAMA