NEW DELHI: Tahun 2021 sudah melabuhkan tirainya semalam, namun, India terpaksa menelan kenyataan apabila negara itu gagal memberikan suntikan vaksin kepada semua populasi dewasa sebanyak 940 juta suntikan dua dos vaksin.
Sedangkan, sasaran itu pernah disuarakan oleh Menteri Kabinet, Prakash Javadekar yang menyasarkan Disember 2021 adalah sasaran lengkap penduduk India divaksinasi.
BAGAIMANA PROGRAM VAKSIN BERJALAN?
Sehingga 30 Disember lalu, sebanyak 64 peratus golongan dewasa di India sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya dan 90 peratus menerima suntikan dos pertama.
Pakar menjelaskan sasaran melengkapkan vaksinasi di negara yang mempunyai seramai 1.3 bilion penduduk itu akan mengambil masa yang panjang.
Pakar Epidemiologi dan Sistem Kesihatan, Dr. Chandrakant Lahariya berkata, sasaran yang ditetapkan oleh pihak kerajaan adalah ‘tidak realistik’ kerana mencapai sasaran 100 peratus dalam tempoh tertentu adalah mustahil.
“Masalah tersebut juga ditambah dengan segelintir individu yang enggan menerima vaksin atas pelbagai sebab,” jelasnya.
Menurut papan pemuka vaksin India, Cowin, vaksinasi mingguan di India agak perlahan sejak minggu pertama Disember lalu.
Sejak pertengahan Oktober lalu, lebih banyak suntikan dos vaksin kedua diberikan berbanding dos pertama.
Angka vaksinasi pernah mencatatkan bilangan tertinggi pada 17 September lalu semasa ulang tahun kelahiran Perdana Menteri India, Narendra Modi.
India pernah merekodkan pemberian vaksin sebanyak 20 juta suntikan, namun, angka itu dilihat tidak mampu dicapai lagi.
Pemberian vaksin yang bermula sejak Januari lalu, berdepan cabaran seperti kekangan bekalan akibat kekurangan bahan mentah, isu logistik dan keraguan terhadap vaksin.
ADAKAH INDIA MEMPUNYAI VAKSIN MENCUKUPI?
India buat masa ini memberikan suntikan vaksin tempatan iaitu Covishield dan Covaxin serta vaksin Rusia, Sputnik.
Pembuat vaksin terbesar di negara itu, Serum Institute of India (SII) menghasilkan sebanyak 250 juta dos vaksin Covishield, sebulan sebelum syarikat itu mengumumkan pemberhentian operasi akibat kurang mendapat permintaan, Disember lalu.
Syarikat itu menghasilkan antara 125 hingga 150 juta vaksin dalam masa sebulan.
Pengilang Covaxin, Bharat Biotech menghasilkan sebanyak 50 hingga 60 juta dos vaksin sebulan.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan India, Mansukh Mandaviya semasa di Parlimen berkata, negara itu mempunyai bekalan stok 170 juta vaksin setakat 20 Disember lalu.
Jelasnya, kapasiti penghasilan vaksin sebulan akan ditingkatkan kepada 450 juta dos berbanding 310 juta vaksin, dua bulan akan datang.
DOS PENGGALAK
Kerajaan India mengumumkan suntikan dos penggalak kepada golongan kanak-kanak berusia 15 hingga 18 tahun dan bagi pekerja kesihatan serta individu berusia 60 tahun ke atas dengan masalah kesihatan akan bermula bulan ini.
Ketua SII, Adar Poonawalla berkata, syarikat itu bersedia dengan bekalan 500 juta vaksin sekiranya pihak kerajaan mengumumkan pelaksanaan suntikan dos penggalak.
Kementerian Kesihatan India memaklumkan sebanyak 6.2 juta dos vaksin dibazirkan sejak program vaksinasi bermula.
Angka itu di bawah jangkaan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).