BEIRUT: Setiausaha agung kumpulan pejuang Hezbollah, Hassan Nasrallah menuduh Arab Saudi menyebarkan ideologi Daesh dan ‘menguruskan’ sejumlah kenderaan yang dipenuhi dengan bom untuk serangan pengebom bunuh diri di Iraq.
Menerusi ucapan yang disiarkan dalam televisyen, Hassan turut menuduh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud sebagai ‘pengganas’.
“Raja Salman adalah individu yang bertanggungjawab membawa ideologi Daesh ke seluruh dunia.
“Raja Salman juga adalah individu yang bertanggungjawab menghantar ribuan pengebom bunuh diri untuk melancarkan serangan di Iraq dan Syria,” katanya seperti yang dilapor Al-Jazeera.
Selain itu, Hassan turut menyelar hubungan baik negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan kempen ketenteraan yang dilakukan di Yaman.
Kenyataan keras Hassan itu dibuat susulan kritikan kumpulan politik pembangkang yang mendakwa Hezbollah merosakkan hubungan dengan Arab Saudi.
“Kami tidak serang Arab Saudi, sebaliknya mereka terlibat dalam konspirasi besar yang memusnahkan negara sendiri,” ujar Hassan.
Selain Arab Saudi, Lubnan ketika ini berusaha keras untuk membaiki hubungan diplomatik dengan Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.
Kesemua negara tersebut mengkritik Hezbollah berhubung peranannya dalam konflik di Yaman dan beberapa negara bergolak lain.
Pada Oktober lalu, beberapa negara Teluk menarik balik kedutaan mereka di Lubnan, manakala Arab Saudi pula mengharamkan semua eksport dari negara berkenaan.