LONDON: Seorang lelaki berusia 31 tahun dari United Kingdom memilih bekerja sebagai ‘penunggu profesional’ semasa waktu lapang dengan meraih 160 pound (RM903) sehari.
Lapor Oddity Central, Freddie Beckitt sanggup beratur panjang selama berjam-jam bagi setiap pelanggan yang terdiri daripada golongan kaya yang menggunakan khidmatnya.
Sudah berkecimpung selama tiga tahun dengan menjadikan sebagai karier sambilan, penulis fiksyen dari Fulham itu mampu meraih 20 pound (RM112) sejam.
Beckitt malah berharap dapat beratur lebih lama supaya dapat menumpukan tugas itu sebagai kerjaya sepenuh masa.
“Saya sanggup beratur panjang asalkan ada yang sudi membayar bagi melakukan tugas itu.
“Saya mengiklankan perkhidmatan itu dalam Taskrabbit yang menawarkan pelbagai tawaran pekerjaan pelik dan pelanggan hanya perlu memilih perkhidmatan yang diinginkan,” katanya.
Menurut Beckitt, kebanyakan pelanggannya adalah golongan berada yang tidak mempunyai masa untuk beratur mendapatkan tiket bagi sebarang acara popular yang diadakan.
“Saya pernah beratur selama lapan jam bagi membeli tiket pertunjukan V&A Christian Dior.
“Masa sebenar hanyalah tiga jam, tetapi pelanggan meminta saya mengambil tiket dan menunggu mereka tiba di acara itu. Saya tidak kisah asalkan dibayar 20 pound sejam,” katanya.