LIMA: Hampir 100,000 kanak-kanak di Peru kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 sejak pandemik itu bermula.
Menteri Wanita Peru, Anahi Durand berkata, kira-kira 98,000 kanak-kanak di negara ini kehilangan ibu, ayah dan penjaga mereka akibat koronavirus dan perkara itu amat menyedihkan.
Berdasarkan analisis yang dilakukan oleh AFP, Peru mendahului negara lain dalam kematian per kapita akibat Covid-19, dengan lebih 6,000 bagi setiap juta penduduk negara ini mati disebabkan virus maut itu.
Kerajaan ketika ini memberikan wang pencen sebanyak AS$50 (RM210) bagi setiap dua bulan kepada lebih 18,000 keluarga yang terjejas akibat Covid-19.
Sehubungan itu, Durand berharap bantuan dapat diluaskan kepada sokongan psikologi dan pendidikan bagi kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa serta penjaga.
Peru ketika ini berdepan dengan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 dan merekodkan lebih dua juta kes jangkitan.
Lebih 202,900 penduduk Peru maut akibat Covid-19 sejak pandemik bermula awal 2020. – AFP