BUIN: Beberapa haiwan di sebuah zoo di Chile diberikan suntikan vaksin koronavirus dalam usaha melindunginya daripada jangkitan wabak tersebut.
Harimau Bengal yang dikenali sebagai Charly dan seekor orang utan bernama Sandai merupakan antara 10 ekor haiwan di Zoo Buin di Santiago yang terlibat dalam kempen vaksinasi eksperimen itu.
Haiwan tersebut dipilih kerana tergolong dalam spesies yang dianggap berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Suntikan vaksin eksperimen itu turut diberikan kepada tiga ekor singa, dua ekor harimau lain dan tiga ekor puma.
Jangkitan virus yang kini sudah membunuh lebih 5.4 juta manusia, turut dikesan pada haiwan lain antaranya monyet, beruk, harimau dan rusa.
Charly yang berusia tiga tahun dan Sandai berusia 26 tahun dilaporkan menerima suntikan dos kedua vaksin eksperimen yang dibangunkan khas untuk haiwan tersebut.
Kedua-dua haiwan itu menerima suntikan dos pertama vaksin pada 13 Disember tahun lalu.
“Idea pemberian vaksin eksperimen ini adalah untuk melindungi haiwan berisiko tinggi daripada dijangkiti koronavirus sambil menguji keberkesanan vaksin dari segi imuniti dan daya ketahanan,” kata Ketua Jabatan Veterinar Zoo Buin, Sebastian Celis.
Katanya, setakat ini, pihak pengurusan zoo tidak pernah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap mana-mana haiwan kerana tidak menunjukkan gejala. – AFP