GARUT: Penantian seorang guru sandaran selama 24 tahun untuk menerima bayaran gaji yang tertunggak selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil.
Munir Alamsyah, 53, sebelum ini pernah mencetuskan kekecohan apabila dia sanggup membakar dua bahagian di Sekolah Cikelet Garut kerana berang gajinya masih belum diterima biarpun sudah 24 tahun berhenti mengajar.
Sepanjang 24 tahun lalu, rutin Munir adalah ke sekolah tersebut untuk bertanya bilakah gajinya akan dibayar ketika dia menjadi guru subjek fizik pada 1996 hingga 1998.
Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Garut, Ade Manadin, pihaknya bertanggungjawab terhadap kes yang berlaku terhadap Munir.
“Kami akan menyelesaikan bayaran gaji Munir yang tertunggak sebanyak enam juta rupiah (RM1,747) sepanjang dua tahun dia menjadi guru sandaran di sekolah tersebut.
“Semoga bayaran gaji ini dapat mengubati kekecewaan yang ditanggungnya selama 24 tahun ini,” kata Ade.
Jelas Ade, pihaknya bertanggungjawab membantu Munir kepada dia merupakan seorang guru yang berdedikasi ketika menjalankan tugasnya.
“Apa yang berlaku kepada Munir merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang memburukkan imej guru dan sektor pendidikan.
“Sesiapa pun akan marah jika dilayan seperti itu. Hargailah sumbangan para guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa,” katanya.
Sementara itu, Munir yang dibebaskan dari sebarang pendakwaan berhubung tindakannya membakar sekolah menarik nafas lega berhubung perkara itu,
Dia terus melakukan sujud syukur selepas dimaklumkan bayaran gajinya akan dilunaskan dalam tempoh terdekat.
“Saya amat bersyukur, terima kasih kepada semua pihak. Terasa semua beban sudah diangkat.
“Saya memohon maaf kerana bertindak luar kawal dengan membakar sekolah, semuanya kerana perasaan marah yang tidak terbendung selama 24 tahun ini,” ujarnya.