GENEVA: Dua dekad selepas tahanan pertama tiba di Guantanamo Bay, sekumpulan pakar dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Washington supaya menutup secara rasmi pusat tahanan yang disifatkan sebagai ‘tidak henti-henti mencabuli hak asasi manusia’.
Lebih puluhan pakar hak asasi PBB menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penjara ketenteraan yang berpangkalan di Cuba itu masih beroperasi sehingga kini.
Guantanamo Bay ‘ditubuhkan’ selepas serangan pengganas di Amerika Syarikat (AS) pada 2001 bagi menempatkan tahanan yang disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan atau jenayah berat.
Kumpulan pakar itu menyifatkan pusat tahanan tersebut yang dibuka pertama kali kepada banduan pada 10 Januari 2002 sebagai ‘kemasyhuran tiada tandingan’ dan ‘kekotoran’ terhadap komitmen Washington yang kononnya berpegang pada kedaulatan undang-undang.
“Selama 20 tahun Guantanamo Bay menjadi saksi penderitaan, keperitan yang dialami oleh tahanan dan situasi itu menyebabkan tiada satu kerajaan di dunia ini bersetuju dengan penubuhannya,” jelas mereka menerusi satu kenyataan bersama.
Kumpulan pakar PBB itu menggesa kerajaan AS supaya menutup penjara tersebut, menghantar pulang semua tahanan ke tempat asal mereka atau negara ketiga yang selamat dan menyediakan pemulihan untuk banduan.
Sebagai negara anggota yang baru dilantik dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, adalah penting untuk AS ‘menutup semua bab yang teruk mengenai pencabulan hak asasi manusia’.
PENYEKSAAN SISTEMATIK
Guantanamo Bay pernah mempunyai seramai hampir 800 banduan dari seluruh dunia, kini penjara tersebut hanya menahan 39 banduan lelaki dengan ada di antara mereka sudah ditahan sejak awal pembukaannya.
Seramai 13 tahanan daripada jumlah tersebut sudah pun bersedia untuk dipindahkan, sama ada dihantar pulang ke negara asal atau tempat lain, namun kesemuanya melibatkan prosedur yang perlahan.
Manakala, 14 lagi tahanan menunggu untuk dibebaskan, dengan 10 daripadanya dalam proses perbicaraan dan dua lagi sudah disabit kesalahan.
Jurucakap Pentagon, John Kirby semalam memaklumkan, Presiden AS, Joe Biden mempunyai perancangan untuk menutup Guantanamo, biarpun berdepan dengan pelbagai isu politik.
“Apa yang boleh saya beritahu, kerajaan AS komited untuk menutup Guantanamo.
“Kami dalam proses untuk membuat keputusan penting mengenai Guantanamo dan perkara itu akan melibatkan White House, tentera AS, Jabatan Keadilan dan beberapa agensi lain,” kata Kirby kepada media.
PENYEKSAAN YANG ‘DIHALALKAN’
Kumpulan pakar PBB itu turut mengkritik sistem perundangan AS kerana gagal melindungi hak asasi manusia dan mempertahankan undang-undang itu, sebaliknya ‘membiarkan penyeksaan di Guantanamo’.
“Penjara itu merupakan tempat di mana penyeksaan dilakukan secara sistematik dan semua perbuatan kejam dianggap sebagai tindakan yang dibolehkan,” jelas kumpulan tersebut.
Antara 2002 dan 2021, sebanyak sembilan tahanan mati ketika dalam tahanan dengan tujuh daripadanya mati akibat bunuh diri.
Kumpulan pakar PBB terbabit menegaskan mana-mana pihak yang terlibat dalam penderitaan dan penyeksaan tahanan di Guantanamo perlu diheret ke muka pengadilan atas perbuatan kejam mereka.
“Apabila negara gagal membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan, hal itu secara tidak langsung memberi kesan kepada sistem keadilan dunia,” menurut kumpulan itu.
Selain itu, timbul juga kebimbangan mengenai suruhanjaya tentera AS yang berusaha menyekat bukti mereka melakukan penyeksaan terhadap tahanan.
Sehubungan itu, AS digesa supaya seiring dengan komitmen yang dinyatakan, iaitu menghormati kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan. – AFP