MANILA: Filipina akan membuka semula pintu sempadannya kepada kumpulan pelancong yang sudah lengkap divaksin dari semua negara bermula 10 Februari ini dan mereka tidak perlu menjalani kuarantin.
Keputusan itu dibuat selepas hampir dua tahun Filipina menutup pintu sempadan susulan penularan Covid-19 yang menyaksikan sektor pelancongan di negara ini terjejas teruk.
Jurucakap presiden, Karlo Nograles berkata, industri pelancongan kini boleh memulakan fasa pemulihan dan menyumbang peluang pekerjaan kepada penduduk serta pembangunan ekonomi negara.
Terdahulu, kerajaan Filipina bercadang untuk membuka pintu sempadan untuk pelancong pada 1 Disember, namun ditangguhkan berikutan penularan Omicron.
Pengumuman itu menyaksikan pelancong dari 157 negara boleh memasuki Filipina.
Para pelancong yang sudah lengkap divaksin hanya perlu menunjukkan keputusan ujian Covid-19 negatif sebelum berlepas ke Filipina dan tidak perlu menjalani kuarantin ketika ketibaan.
Bagi pelancong yang belum menerima suntikan vaksin, mereka tidak dibenarkan memasuki Filipina bermula 16 Februari depan. – AFP