LONDON: Monarki Britain sekali lagi terpalit dengan kontroversi selepas putera kedua Ratu Elizabeth II didakwa terlibat dengan skandal seks.
Lapor BBC, Putera Andrew kini berdepan kes sivil di Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita ketika mangsa berusia 17 tahun.
Virginia Roberts Giuffre, 38, memfailkan saman terhadap Duke of York itu dengan mendakwa beliau menderanya secara seksual pada tahun 2001.
Peguamnya memaklumkan tuntutan itu harus ditolak dengan memetik penyelesaian ditandatangani antara Giuffre dan pengurus dana AS, mendiang Jeffrey Epstein pada 2009.
Namun, seorang hakim mahkamah New York memutuskan kes itu boleh diteruskan.
Putera Andrew, 61, secara konsisten menafikan dakwaan tersebut.
Malah, Istana Buckingham juga enggan memberi sebarang komen berhubung kes berkenaan yang masih berjalan.
Usul untuk menolak tuntutan saman itu dinyatakan dalam keputusan penghakiman setebal 46 muka surat dibuat oleh Hakim Mahkamah Daerah AS, Lewis A Kaplan.
Ini bermakna kes terhadap Putera Andrew boleh dibicarakan di mahkamah akhir tahun ini.
Kaplan memaklumkan keputusannya tidak sama sekali menentukan ‘kebenaran atau kepalsuan’ tuntutan saman Giuffre.
Dalam pada itu, Giuffre berbesar hati apabila mahkamah menolak rayuan Putera Andrew untuk membatalkan saman yang difailkannya.
Katanya, kini bukti akan diambil kira dalam kes saman terhadap kerabat diraja itu.
“Dia sedang menantikan keputusan penghakiman mengenai merit tuntutan saman itu,” kata peguam Giuffre, David Boies.
Dalam dokumen mahkamah, Giuffre mendakwa menjadi mangsa pemerdagangan seks dan penderaan oleh Epstein.
Dakwa Giuffre, sebahagian penderaannya itu membabitkan ‘dipinjamkan’ untuk seks kepada lelaki kaya lain.
Sebelum ini, Putera Andrew menerusi temu bual dengan BBC Newsnight pada 2019 menegaskan beliau seingatnya tidak pernah bertemu dengan Giuffre, malah menafikan dakwaan mereka melakukan hubungan intim di AS dan United Kingdom (UK).
Pada sesi sebutan kes, peguam kepada Putera Britain membangkitkan terma penyelesaian antara Epstein dan Giuffre yang antara lain menghalangnya daripada menyaman pihak lain berkaitan dengan pembiaya apabila selesai tuntutan ganti rugi terhadapnya.
Semasa perbicaraan diadakan, peguamnya memaklumkan Putera Andrew adalah ‘potensi defendan’ sepertimana ditakrifkan dalam penyelesaian tersebut dan kes saman itu harus diketepikan.
Bagaimanapun, peguam Giuffre menegaskan hanya pihak terlibat dalam penyelesaian berkenaan boleh mendapat manfaat daripadanya dan bukannya ‘pihak ketiga’.
Sementara itu, Kaplan menerusi keputusan penghakimannya menolak rayuan Putera Andrew bahawa kes saman terhadapnya ‘tidak mencukupi dari segi undang-undang’ dan tidak boleh dibicarakan pada masa depan.
Katanya, mahkamah tidak dapat membuat pertimbangan sama ada Putera Andrew dilindungi oleh penyelesaian terbabit, malah beliau turut menyifatkannya sebagai ‘tidak jelas’.
Menurut Kaplan, keputusannya tidak mempertimbangkan usaha defendan untuk membangkitkan keraguan terhadap dakwaan Giuffre meskipun ia dibenarkan dalam perbicaraan.
Dilaporkan, peguam Putera Andrew berkemungkinan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Kaplan walaupun mereka memerlukan kebenaran untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beberapa pakar undang-undang berpandangan kata keputusan hakim itu menunjukkan seolah-olah kebenaran itu tidak akan diberikan.