BEIJING: China semalam menegaskan negara ini akan terus memperkasakan senjata nuklearnya dan mendesak Amerika Syarikat (AS) serta Rusia supaya mengurangkan pengeluaran ‘stok senjata mereka’.
Sehari sebelum itu, China bersama AS, Rusia, Britain dan Perancis menerusi satu kenyataan bersama mengulangi pendirian mereka untuk membebaskan dunia daripada senjata atom dan mengelak konflik nuklear.
Lima negara kuasa nuklear itu juga komited untuk menghentikan penggunaan senjata atom, yang setakat ini hanya pernah digunakan oleh AS ketika mengebom Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Namun, kenyataan itu hanya dilihat sebagai retorik dan sukar untuk dilakukan dalam dunia nyata.
AS mendakwa China meningkatkan pengeluaran senjata nuklearnya dengan anggaran sebanyak 700 senjata menjelang 2027 atau 1,000 pada 2030.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Senjata di Kementerian Luar China, Fu Cong berkata, AS dan Rusia perlu mengambil langkah terlebih dahulu sekiranya mahu senjata nuklear tidak lagi digunakan di seluruh dunia.
“AS dan Rusia masih menjadi antara negara utama yang menghasilkan 90 peratus senjata nuklear di dunia.
“Mereka perlu mengurangkan pengeluaran itu jika mahu negara lain melakukan hal yang sama,” katanya.
Cong turut membalas dakwaan Washington yang mendakwa negara ini meningkatkan keupayaan nuklear.
Katanya, dakwaan itu tidak berasas kerana China sentiasa mengekalkan keupayaan senjata nuklear pada tahap minimum bagi menjamin keselamatan negara. – AFP