JAKARTA: Pelakon dan pelawak Indonesia, Vicky Prasetyo bersumpah tidak pernah bernikah sebanyak 24 kali, sebaliknya menegaskan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini hanya bersifat gurauan semata-mata.
Lapor Suara.com, Vicky berkata, dia hanya pernah berkahwin sebanyak empat kali sahaja termasuk isteri yang terakhirnya, Kalina Oktarani.
“24 kali itu hanya bahan gurauan sahaja. Demi Allah saya tidak pernah bernikah sebanyak itu.
“Ibu saya boleh pengsan kalau tahu saya kahwin sebanyak ini,” jelasnya.
Sebelum ini, pengacara itu pernah membuat pengakuan kononnya dia berkahwin sebanyak 24 kali menerusi sebuah program sehingga menerima kecaman masyarakat.
Rata-rata beranggapan Vicky mempermainkan agama dan meminta pejabat agama mengambil tindakan terhadapnya.
Menurut Vicky, dia turut menerima panggilan daripada seorang kenalan di pejabat agama bagi mengesahkan hal tersebut.
“Saya katakan kepadanya semak sahaja senarai daftar nikah. Itu adalah gurauan yang sudah tidak boleh dibetulkan,” katanya.