BUENOS AIRES: Penduduk berasa bagai dipanggang apabila sebahagian besar Argentina dan negara-negara jiran di Amerika Selatan mencatatkan bacaan suhu paling tinggi.
Situasi itu berlaku ketika rantau tersebut dilanda gelombang haba melampau.
Lapor Al Jazeera, ahli meteorologi di Perkhidmatan Meteorologi Argentina, Cindy Fernandez berkata, hampir semua wilayah Argentina dan negara jiran seperti Uruguay, selatan Brazil dan Paraguay mengalami hari paling panas dalam sejarah.
Banyak bandar melaporkan suhu tertinggi sejak bacaan rekod bermula, dengan beberapa zon mencecah suhu sehingga 45 darjah Celsius.
“Di Argentina iaitu dari pusat wilayah Patagonia hingga ke utara negara berkenaan, bacaan suhu mencapai atau melebihi 40 darjah Celsius,” kata Fernandez.
Cuaca panas dan kemarau berpanjangan melanda negara itu, meskipun terdapat harapan bacaan suhu akan menurun minggu depan berikutan dijangka menerima taburan hujan untuk suatu tempoh tertentu.
Dalam pada itu, Fernandez memaklumkan jisim udara panas terbentuk di Argentina, tepat pada tengah musim panas hemisfera selatan.
Sementara itu, berdasarkan laporan media tempatan, suhu panas melampau itu memberi kesan terhadap bekalan elektrik negara.
Memetik laporan akhbar Clarin, di Buenos Aires dan sekitar ibu negara itu, lebih 75,000 kediaman penduduk terputus bekalan elektrik kelmarin.
Jelas laporan itu, Argentina melaporkan kadar penggunaan elektrik paling tinggi pada petang Jumaat.
Seorang penduduk dikenali sebagai Elizabeth Bassin menyifatkan cuaca panas dihadapi kali ini terlalu teruk.
“Ini adalah hari yang sangat buruk. Kami hidup selama seminggu dengan cuaca panas.
“Kini, badan kami seolah-olah sudah biasa dengan cuaca melampau itu,” katanya.