AMSTERDAM: Kerajaan Belanda memaklumkan negaranya akan melonggarkan sekatan Covid-19 bermula hari ini.
Setakat ini, beberapa tempat kunjungan ramai seperti restoran dan muzium ditutup sejak 18 Disember tahun lalu dalam usaha membendung penularan varian Omicron.
Di sebalik sekatan itu, kes Covid-19 di negara itu dilaporkan terus meningkat dengan kira-kira 60,000 kes direkodkan hampir setiap hari.
Lapor BBC, Perdana Menteri, Mark Rutte berkata, pihaknya sedang mengambil risiko dengan melonggarkan sekatan Covid-19.
Katanya, peraturan baharu akan berkuat kuasa sehingga 8 Mac depan.
Peraturan baharu antara lain membenarkan kafe, bar dan restoran dibuka sehingga pukul 10 malam.
Bagaimanapun, penduduk perlu menunjukkan bukti status vaksinasi atau sudah pulih daripada jangkitan virus atau diuji negatif Covid-19 sebelum memasuki tempat berkenaan.
Kelab malam pula akan kekal ditutup manakala kapasiti kehadiran di acara sukan dan kebudayaan pula akan dihadkan kepada 1,250 orang. – AGENSI