WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dilaporkan meluluskan penjualan 12 buah pesawat pengangkut tentera kepada Mesir.
Lapor BBC, perjanjian itu bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.38 bilion).
Sistem radar pertahanan udara dan peralatan berkaitan lain juga dijual kepada negara itu pada harga AS$300 juta (RM1.25 bilion).
Penjualan senjata itu diluluskan walaupun terdapat kritikan daripada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden berhubung rekod hak asasi manusia Mesir.
Pada September tahun lalu, Washington menangguhkan bantuan ketenteraan AS$130 juta (RM544 juta) yang diperuntukkan untuk Mesir.
Menurut pegawai AS, tindakan itu berikutan kegagalan Kaherah untuk memperbaiki situasi hak asasi. – AGENSI