WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin kuasa Barat mencapai kata sepakat untuk menghalang Rusia daripada menyerang Ukraine.
Kata putus itu dicapai selepas Biden mengadakan perbincangan mengenai krisis tersebut menerusi sidang video selama satu jam 20 minit dengan pemimpin sekutu dari Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Saya mengadakan pertemuan yang sangat baik dan mencapai kata sepakat dengan semua pemimpin Eropah,” katanya.
Pemimpin Perancis, Itali, Poland dan Kesatuan Eropah (EU) antara negara yang turut serta dalam rundingan itu membincangkan krisis Rusia-Ukraine itu.
Di London, pejabat Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, semua pemimpin bersetuju mengutamakan kepentingan perpaduan antarabangsa dalam menghadapi tekanan Rusia yang semakin meningkat.
Canselor Jerman, Olf Scholz, turut mendesak Russia mengurangkan keganasan, manakala Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg memberi amaran kesan yang akan timbul jika Moscow menceroboh Ukraine.
Serentak dengan itu, Biden memberi arahan kepada 8,500 tentera AS supaya bersiap sedia untuk dikerahkan ke Eropah sekiranya diperlukan.
Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, ribuan anggota tentera itu akan bersedia membantu pasukan NATO sekiranya mereka dipanggil bertugas.
Jelasnya, arahan itu melibatkan pasukan tempur briged tambahan, kakitangan logistik, sokongan perubatan, penerbangan dan pasukan tentera yang terlibat dengan misi risikan, pengawasan dan peninjauan.
Setakat ini, NATO mempunyai 4,000 tentera dalam batalion multinasional di Estonia, Lithuania, Latvia dan Poland yang disokong oleh kereta kebal, pertahanan udara dan unit risikan serta pengawasan. – AFP/REUTERS