WASHINGTON: Iran bakal berdepan ‘ancaman’ sekiranya melakukan serangan terhadap mana-mana rakyat Amerika Syarikat (AS).
Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan berkata, AS akan bekerjasama dengan sekutu negara itu bagi menghalang dan memberikan maklum balas terhadap sebarang serangan yang dilakukan oleh Iran.
Tegasnya, AS akan berusaha melindungi rakyatnya termasuk individu yang pernah berkhidmat kepada negara, termasuk bekas tentera AS.
Sabtu lalu, Iran mengenakan sekatan terhadap puluhan rakyat AS dengan kebanyakannya adalah tentera AS, berhubung pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani menerusi serangan dron, 2020.
Serangan tersebut dipercayai merupakan arahan bekas Presiden AS, Donald Trump.
Menteri Luar Iran berkata, seramai 51 rakyat AS menjadi sasaran kerana terlibat dengan ‘keganasan’ serta mencabul hak asasi manusia.
Iran sebelum ini pernah mengancam akan menjalankan operasi keganasan di AS dan tempat lain di seluruh dunia.-REUTERS