LONDON: Anjing milik pasukan khas tentera British, Special Air Service (SAS) dilaporkan akan menerima jaket khas bagi melindungi haiwan tersebut daripada peluru dan letupan bom.
Lapor Daily Star, jaket khas yang bernilai sehingga 5,000 pound (RM28,379) itu juga dilengkapi dengan alat pengesan audio dan video.
Pemasangan alat pengesan itu membolehkan pengendali melihat dan mendengar situasi berlaku di dalam bangunan yang ditahan oleh musuh.
“Anjing merupakan bahagian penting dalam setiap operasi SAS. Setakat ini, kami tidak menemukan sebarang peralatan yang menawarkan perlindungan tempur kepada haiwan tersebut.
“Jadi, jaket khas ini akan membantu mengurangkan kecederaan yang dialami anjing ketika menyertai operasi,” kata seorang tentera dari SAS.
Pasukan khas tentera British menempah peralatan itu selepas kejadian beberapa anjing terkorban atau cedera dalam operasi di Iraq, Afghanistan dan Syria.
Sebelum ini, anjing SAS hanya mengenakan abah-abah supaya haiwan itu boleh dibawa semasa pengendali mereka memanjat permukaan batu, melakukan terjun menggunakan payung terjun dan dilepaskan ke dalam bangunan.
Jaket baharu itu diperbuat daripada bahan balistik untuk melindungi haiwan tersebut daripada ditembak atau cedera dalam letupan bom.
Anjing itu juga akan dipasang dengan but bagi menghalang kaki haiwan berkenaan cedera akibat terkena serpihan kaca.