Angka kematian akibat letupan besar di Ghana dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Angka kematian akibat letupan besar di Ghana dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOSO: Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan 59 yang lain cedera selepas sebuah trak membawa bahan letupan yang digunakan dalam aktiviti perlombongan bertembung dengan motosikal dan meletup di barat Ghana.

Letupan berlaku di Apiate antara bandar Bogoso dan Bawdie selepas motosikal tersebut terperosok di bawah lori trak yang dalam perjalanan ke lombong emas Chirano.

Jurucakap Kinross mengesahkan kemalangan berlaku 140 kilometer dari lokasi lombong tersebut.

Susulan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai berpindah dari kawasan letupan ke bandar berdekatan bagi menjamin keselamatan mereka.

“Bandar terdekat diarahkan membuka kawasan awam termasuk kelas dan gereja bagi individu yang terselamat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Organisasi Pengurusan Bencana Negara (NADMO), Seji Saji Amedonu memaklumkan sebanyak 500 bangunan musnah akibat letupan itu.

Penyelaras NADMO, Francis Abeiku Yankah memberitahu stesen TV3, dia melihat kemusnahan masyarakat sepenuhnya di Apiate.  

“Masyarakat sudah mati dan kawasan itu tidak boleh didiami oleh sesiapa pun,” katanya.

Presiden Ghana, Nana Addo Dankwa Akufo-Addo menjelaskan letupan tersebut menyebabkan kehilangan banyak nyawa penduduk.

“Ini adalah insiden yang sangat menyedihkan, memilukan dan tragis.

“Pihak kerajaan menzahirkan takziah dan dukacita terhadap keluarga mangsa dan saya berharap mangsa yang tercedera lekas sembuh,” katanya.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya