Akibat tolak cinta anak jiran, wanita dirogol beramai-ramai, diarak di jalanan - Utusan Malaysia

Akibat tolak cinta anak jiran, wanita dirogol beramai-ramai, diarak di jalanan

TANGKAP layar video menunjukkan seorang wanita muda diarak di jalanan selepas dirogol dan dipukul di New Delhi, India. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang ibu muda berdepan situasi paling getir dan memalukan dalam hidupnya apabila dia diculik oleh sekumpulan lelaki, dirogol beramai-ramai dan kemudiannya ‘diarak’ di jalanan pada waktu siang sambil disaksikan orang ramai.

Insiden itu merupakan yang terbaharu melibatkan keganasan seksual di negara ini dan mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri Delhi dan Suruhanjaya Wanita Delhi yang menyifatkan kejadian itu ‘amat memalukan’.

Susulan insiden itu, polis menahan 11 orang termasuk beberapa wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu, rakaman yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan mangsa dengan mukanya dilumur cat hitam dan rambutnya dipotong ditolak dan dipukul oleh beberapa wanita ketika orang ramai ‘bersorak’ dan merakam insiden tersebut dengan telefon bimbit mereka.

Jurucakap polis, R. Sathiyasundaram berkata, insiden yang berlaku di daerah Shahdara di timur Delhi itu merupakan ‘perbuatan balas dendam akibat permusuhan sebelum ini’ antara mangsa dan beberapa jirannya.

Jelas Sathiyasundaram, mangsa yang berusia 21 tahun pernah menolak cinta seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan ahli keluarga seorang daripada suspek.

Kecewa dengan penolakan itu, remaja lelaki tersebut membunuh diri dengan terjun ke landasan kereta api ketika tren menghampiri dan insiden itu membuatkan keluarga remaja berkenaan menyimpan dendam terhadap mangsa.

“Mangsa menceritakan, dia diculik oleh ahli keluarga remaja tersebut sebelum dirogol beramai-ramai, dibaling telur oleh beberapa wanita dan dipukul menggunakan kayu serta diarak di jalanan,” kata Sathiyasundaram.

Sehubungan itu, polis akan meneruskan siasatan dan mengenal pasti lebih ramai suspek yang mungkin terlibat.

Mangsa mempunyai seorang anak berusia dua tahun dan kini menerima rawatan perubatan termasuk kaunseling bagi menghilangkan traumanya susulan kejadian itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya