70 juta penduduk di utara AS terjejas akibat ribut salji - Utusan Malaysia

70 juta penduduk di utara AS terjejas akibat ribut salji

PEJALAN kaki membawa peralatan ski semasa melalui kawasan jalan di New York.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Bandar-bandar utama di Amerika Syarikat (AS) seperti New York dan Boston dilanda ribut salji sehingga menyebabkan pengangkutan awam tergendala dan gangguan bekalan eletrik yang menjejaskan kira-kira 70 juta penduduk.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengesahkan ribut salji berlaku akibat angin kencang melanda kawasan timur AS sejak Sabtu lalu.

Ribut salji yang melanda ketika musim sejuk itu antara yang terkuat dalam beberapa tahun lalu, sehingga digelar sebagai ‘siklon bom’.

Ribut salji paling kuat melanda beberapa bahagian di New York dan Massachusetts yang menerima salji dengan ukuran 61 sentimeter (cm) dengan lebih 95,000 kediaman di Massachusetts terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.

NWS memberi amaran cuaca sejuk akan menjangkau sejauh selatan Florida serta ‘iguana akan terjatuh dari pokok’ akibat suhu sejuk membeku yang melumpuhkan sementara habitat biawak besar itu.

Susulan itu, penduduk di kawasan pekan dan bandar di seberang pantai timur digesa mengelakkan semua perjalanan tidak penting bagi malam kedua, dengan salji tambahan dijangka paling lebat di seluruh New England.

Di Long Island, pegawai berkata, seorang wanita ditemukan maut di dalam kereta oleh pengendali pembajak salji.

Di bandar New York, mesin garam dan pembajak salji kelihatan di sepanjang jalan dengan Central Park yang dilitupi salji 19 cm, manakala sebahagian laluan kereta api terpaksa ditutup.

Di Times Square, papan iklan neon terkenal membentuk lingkaran cahaya di kawasan udara dipenuhi salji.

Di kawasan kejiranan Cobble Hill di Brooklyn, laluan pejalan kaki hampir lengang dan banyak perniagaan ditutup.

Gabenor New York, Kathy Hochul berkata, ribut salji belum berakhir dan memberi amaran ‘fasa paling berbahaya adalah sekarang’ kepada semua penduduk.

Susulan itu, semua kawasan serta sebahagian negeri di New York, New Jersey, Virginia, Maryland dan Delaware diisytiharkan kecemasan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN