ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya 46 orang maut selepas ribut tropika Ana melanda Madagascar, Mozambique dan Malawi sehingga menjejaskan sistem janakuasa akibat banjir.
Menurut pihak berkuasa, ribut terbentuk di pantai timur pulau terbesar di Afrika, Madagascar mengakibatkan hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di ibu kota Antananarivo.
Agensi pengurusan bencana melaporkan hampir 65,000 orang kehilangan tempat tinggal sejak minggu lalu.
Ketua Pengarah Unit Penyelamat di Agensi Pengurusan Bencana, John Razafimandimby berkata, beberapa daerah di lokasi rendah di ibu negara kekal dalam keadaan berjaga-jaga dan pemindahan mangsa banjir bermula sejak kelmarin.
Selepas melintasi Lautan Hindi, ribut itu melanda tanah besar Afrika dengan membawa hujan lebat dan angin kencang di daerah tengah dan utara Mozambique, Isnin lalu.
Lebih setengah juta orang terjejas di Zambezia serta wilayah Nampula dan Sofala.
Institut Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan memaklumkan sebuah klinik dan 16 bilik darjah sekolah musnah akibat ribut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan ribut akan menyebabkan banjir bertambah buruk, menyebabkan orang ramai terpaksa berpindah dan merosakkan infrastruktur.-AFP