GAZA: Israel mengumumkan peralatan pengesan sudah siap dipasang di tembok yang menempatkan terowong bawah tanah sepanjang 65 kilometer di Semenanjung Gaza.
Israel mengumumkan pembinaan projek itu sejak 2016 termasuk pembinaan terowong bawah tanah, penghalang tentera laut, sistem radar serta bilik arahan dan kawalan.
Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz berkata, tembok itu merupakan projek inovatif dan berteknologi maju yang bertujuan menghalang pergerakan pejuang Hamas.
“Terowong itu mengandungi ‘dinding besi’, alat pengesan dan konkrit yang memisahkan antara Hamas dan penduduk di selatan Israel,” katanya.
Pejuang Hamas sebelum ini dilaporkan menggunakan terowong tersebut bagi mengusir tentera Israel semasa pencerobohan 2014 di wilayah Palestin yang dijajah.
Menurut Gantz, pembinaan tembok itu melibatkan ratusan kamera, radar dan alat pengesan lain serta sebanyak 140,000 tan besi dan keluli digunakan.
Katanya, projek itu mengambil masa selama tiga tahun setengah untuk disiapkan.
Jelas beliau, projek itu merupakan ‘pagar pintar’ dengan ketinggian melebihi enam meter serta berupaya mengesan sebarang penyusupan melalui laluan laut dan sistem senjata kawalan jauh.
Gantz bagaimanapun tidak mendedahkan kedalaman tembok bawah tanah itu.
Pembinaan tembok itu juga mencetuskan kebimbangan keselamatan kerana telah menutup laluan masuk antara Mesir dan Palestin.
Sejak 2013, tentera Mesir bertindak merobohkan banyak terowong penyeludupan, manakala, Hamas berusaha meningkatkan rondaan di kawasan terlibat.