GENEVA: Varian Covid-19 Omicron merebak lebih pantas dari varian Delta dan menyebabkan jangkitan terhadap individu yang sudah divaksin atau pulih daripada penyakit akibat Covid-19.
Amaran itu disuarakan oleh Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Soumya Swaminathan yang menjelaskan adalah ‘tidak bijak’ membuat kesimpulan daripada bukti awal Omicron adalah varian yang lebih ringan daripada varian sebelumnya.
“Dengan bilangan kes semakin meningkat, semua sistem kesihatan berada di bawah tekanan,” katanya.
Menurut Swaminathan, varian tersebut berjaya mengelak daripada beberapa tindak balas imun dan program penggalak yang dilancarkan di banyak negara sepatutnya disasarkan kepada individu yang mempunyai sistem imun yang lebih lemah.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, terdapat bukti konsisten menunjukkan Omicron merebak lebih pantas daripada varian Delta.
Jelasnya, individu yang sudah divaksin atau pulih daripada Covid-19 berisiko dijangkiti atau mendapat jangkitan semula.
WHO mengeluarkan kenyataan tersebut selepas hasil kajian oleh Imperial College London mendapati risiko jangkitan semula adalah lima kali lebih tinggi serta menunjukkan tiada tanda-tanda menjadi lebih ringan berbanding Delta.
Bagaimanapun, WHO berkata, bentuk vaksin imunisasi lain boleh mencegah jangkitan dan penyakit.
Walaupun pertahanan antibodi daripada beberapa tindakan terjejas, terdapat harapan sel-T iaitu tonggak kedua tindak balas imun boleh mencegah penyakit teruk dengan menyerang sel manusia yang dijangkiti.
Pakar WHO, Abdi Mahamud berkata, walaupun pengurangan dilihat dalam antibodi peneutralan, hampir semua analisis awal menunjukkan imuniti pengantara sel-T kekal utuh.
“Sudah tentu ada cabaran, kebanyakan monoklonal tidak akan berfungsi dengan Omicron,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci kerana merujuk kepada rawatan yang meniru antibodi semula jadi dalam melawan jangkitan.
Beberapa pembuat ubat turut mencadangkan perkara yang sama.
TANGGUHKAN AKTIVITI
Dalam pada itu, Tedros menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sebarang penganjuran aktiviti berkumpulan.
“Aktiviti percutian di kebanyakan tempat boleh menyebabkan peningkatan kes, sistem kesihatan lumpuh dan lebih banyak kematian berlaku.
“Tangguhkan sebarang acara lebih baik daripada kehidupan yang tertangguh,” katanya.
Hakikatnya, dunia sudah letih menghadapi gelombang baharu kerana 2022 akan kekal menjadi tahun jangkitan wabak Covid-19.
Sehingga saat ini, virus itu sudah membunuh lebih 5.6 juta nyawa manusia di seluruh dunia.