MAKASSAR: Seorang warga emas berusia 73 tahun menjadi mangsa rompakan dua lelaki selepas mengeluarkan duit dari bank di Jalan Gunung Bawakaraeng, bandar Makassar.
Lapor Kompas.com, rompakan tersebut turut menyebabkan pengawal keselamatan bank mengalami kecederaan selepas ditikam di bahagian leher dengan badik.
Ketua Polis Makassar, Yusrizal mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sedang giat memburu suspek selepas tindakan mereka berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV).
“Ketika kejadian, mangsa baru sahaja mengeluarkan duit dan tiba-tiba dua pelaku datang menghampirinya sebelum mengacukan pistol ke arahnya.
“Suspek pertama bertindak mengeluarkan duit mangsa, sementara, pelaku kedua menunggu di motosikal,” jelasnya.
Menurut Yusrizal, mangsa sempat melawan bagi mengelakkan wangnya dicuri suspek.
Katanya, pengawal keselamatan sempat membantu sehingga berlaku pergelutan dan menyebakan wang bernilai lima juta rupiah (RM1,500) terjatuh.
“Suspek menjadi panik dan mengeluarkan senjata tajam iaitu badik dan menusuk leher pengawal keselamatan dari belakang.
“Bagaimanapun, kecederaan yang dialami mangsa tidak terlalu parah,” katanya.