MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin menzahirkan kekecewaannya terhadap kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 sehingga menyebabkan beliau terpaksa bekerja sebagai pemandu teksi bagi mencari pendapatan tambahan.
Ekonomi di negara ini berdepan kesukaran akibat kejatuhan Soviet dan menyaksikan penduduk Rusia terpaksa mencari pelbagai alternatif untuk mencari duit dan meneruskan kehidupan.
Putin menyifatkan kejatuhan itu sebagai ‘lenyapnya sejarah Rusia’.
Pemimpin berusia 69 tahun itu mendedahkan perkara tersebut dalam satu dokumentari yang disiarkan di saluran televisyen tempatan, semalam.
“Kejatuhan Kesatuan Soviet telah meruntuhkan sejarah Rusia dan saya percaya, Barat ketika ini terus menunggu untuk melihat kejatuhan Rusia.
“Saya akui saya berasa sangat kecewa dengan kejatuhan itu, selain menyaksikan saya perlu mencari duit tambahan dengan menjadi pemandu teksi.
“Hal ini bukan mudah untuk didedahkan, namun itulah yang berlaku dan saya masih ingat tentang semuanya,” kata Putin.
Ketika itu, perkhidmatan teksi bukan menjadi kebiasaan di Rusia, namun boleh memberikan pulangan yang lumayan.