Tular video pemimpin agama di India desak komuniti Islam 'dihapuskan' - Utusan Malaysia

Tular video pemimpin agama di India desak komuniti Islam ‘dihapuskan’

Tangkap layar ciapan seorang pengguna Twitter mengenai ucapan kebencian yang disampaikan dalam majlis di Uttarakhand. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Beberapa video yang menunjukkan para pemimpin agama Hindu di India yang menggesa ‘penghapusan komuniti Islam’ di negara ini mencetuskan kebimbangan dan desakan pihak berkuasa supaya bertindak segera.

Polis India memaklumkan pihaknya melancarkan satu siasatan berhubung ucapan kebencian yang disampaikan oleh beberapa pemimpin agama termasuk anggota parti politik dalam satu masjlis di Haridwar di utara negeri Uttarakhand.

Dalam majlis tersebut, para pemimpin saling berucap dan menggesa supaya komuniti Islam di negara ini dibunuh beramai-ramai.

Speaker dalam majlis itu memberitahu orang ramai mereka tidak perlu bimbang dimasukkan ke penjara sekiranya membunuh orang Islam.

Video ucapan tersebut menjadi tular dalam media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Walaupun hanya ratusan daripada kita menjadi tentera dan membunuh dua juta penduduk Islam, kita tetap akan meraih kejayaan.

“Jika anda teruskan pegangan ini, kita akan dapat melindungi agama kita,” kata seorang wanita dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut dihadiri sekurang-kurangnya seorang daripada anggota parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

 

HASUTAN YANG JELAS

Ahli Parlimen beragama Islam, Asaduddin Owaisi menerusi Twitter menyifatkan ucapan dalam video tular itu sebagai ‘hasutan jelas untuk membunuh penduduk Islam’.

Sehingga kini, kerajaan Modi enggan memberi sebarang maklum balas berhubung majlis tersebut.

Wanita dalam video tersebut turut menambah, orang India perlu menyembah Nathuram Godse iaitu kumpulan pelampau agama yang membunuh ikon kemerdekaan negara ini, Mahatma Gandhi pada 1948.

Seorang lagi delegasi, Prabodhanand Giri iaitu ketua kumpulan pelampau agama menyeru agar ‘pembersihan’ dilakukan segera sambil merujuk kepada penduduk Islam dan menyatakan orang ramai yang hadir dalam majlis itu dibenarkan ‘membunuh mereka’.

Seperti Myanmar, anggota polis, ahli politik, tentera dan semua penduduk beragama Hindu di India perlu mengangkat senjata serta melakukan pembersihan ini.

“Sudah tiada pilihan yang ada dan kita perlu melakukannya,” katanya dalam video tersebut.

 

SASAR KAUM LAIN

Majlis tersebut juga menyaksikan bukan hanya penduduk Islam yang menjadi sasaran, malah komuniti agama dan kaum lain turut disebut.

Berdasarkan video yang tular, seorang lagi delegasi berucap bahawa dia ‘berhajat’ untuk membunuh perdana menteri sebelum ini, iaitu Manmohan Singh yang merupakan perdana menteri dari kaum Sikh pertama di India.

Delegasi lain pula memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan beberapa hotel di kawasannya supaya tidak membenarkan sambutan perayaan Krismas diadakan dan ucapan itu mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Dalam pada itu, BJP menafikan dakwaan bahawa agenda parti itu cuba memecah-belahkan kaum lain di negara ini.

 

TIADA TOLERANSI

Sementara itu, Ketua Polis Uttarakhand, Ashok Kumar bertegas bahawa insiden yang berlaku dalam majlis tersebut tidak akan dipandang remeh.

Katanya, satu kes sudah didaftarkan di bawah seksyen undang-undang yang melarang mempromosi kebencian dalam kalangan kumpulan agama serta kaum yang berbeza.

Jelasnya, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun.

“Kes tersebut dibuka sebaik sahaja laporan rasmi dibuat,” ujarnya.

Koresponden al-Jazeera di New Delhi, Pavni Mittal melaporkan, tiada seorang daripada pemimpin agama Hindu menafikan laporan yang dibuat.

“Kesemua bahan bukti sudah ada dan menjadi tular,” katanya.

 

SERANGAN, ANCAMAN MENINGKAT

Komuniti Islam di negara ini mendakwa serangan dan ancaman terhadap mereka semakin meningkat.

Presiden Jamiat Ulama-i-Hind iaitu organisasi Islam terbesar India, Maulana Mahmood Madni berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut keganasan berlaku.

Katanya, kerajaan ketika ini ‘membutakan mata, memekakkan telinga’ terhadap penderitaan yang dialami komuniti Islam.

“Secara jelas mereka (pemimpin Hindu) cuba mengancam keselamatan kami dan keharmonian India,” jelasnya. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya