SELEPAS beberapa restoran di bandar terkemuka dunia mengenakan perintah sekatan yang panjang, bandar Toronto di Kanada mula bergerak selangkah ke hadapan dan bakal melonggarkan sekatan sepenuhnya pada Mac 2022.
Semasa pandemik Covid-19, Toronto antara bandar di dunia yang melaksanakan perintah berkurung yang panjang dan ketat selama lebih 360 hari, sehingga menyebabkan penduduk tidak berpeluang makan di dalam restoran.
Namun, sejak bandar terbesar di Kanada itu sudah mencapai 85 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan individu berusia 12 tahun dan ke atas, kebanyakan restoran secara beransur-ansur sudah menerima kunjungan semula pengunjung yang lengkap divaksin sejak Ogos lalu.
Seorang penduduk Toronto, Felipe Vernaza berkata, bandar itu hampir melaksanakan aktiviti normal harian kembali kepada individu yang sudah divaksin dan sanggup memakai pelitup muka.
KENAPA PERLU MELANCONG SEKARANG?
Pembukaan semula premis makanan menjadikan kunjungan semasa musim sejuk ke bandar ini lebih menyenangkan kepada pengunjung yang sudah divaksin.
Walaupun pengunjung bakal berdepan dengan cuaca sejuk di bandar ini, namun, musim salji akan menjadi pengalaman yang terindah kerana kurang sesak dengan pengunjung tahun ini.
Farida Talaat yang merupakan penduduk di Toronto memberitahu salji yang turun akan menjadi sangat cantik di Kanada terutamanya di kawasan taman di High Park.
Katanya, lokasi itu akan menjadi tempat ‘magis’ bagi individu yang ingin menghargai salji yang segar.
“Anda boleh meluncur di beberapa kawasan tasik sekiranya kepingan ais cukup tebal.
“Toronto adalah bandar yang perlu dinikmati keindahan sepenuhnya walaupun semasa musim sejuk,” ujarnya.
NEGARA PALING RAMAI DIVAKSIN
Kanada berjaya menewaskan Amerika Syarikat daripada segi kadar vaksinasi keseluruhan penduduk, sekali gus menjadikan negara itu antara kawasan paling ramai divaksin di dunia.
Antara projek baharu terbesar dijalankan adalah 1 Hotel Toronto yang dibuka Ogos lalu.
Hotel yang terletak di bandar hiburan dijangka menggunakan lebih 85 peratus sisa buangan dari tapak pelupusan dengan mengubah menjadi sebuah kawasan taman ikonik di pembangunan hartanah.
Selain itu, kebanyakan restoran di Toronto memberikan tumpuan kepada sumber tempatan.
Ontario adalah restoran yang menyokong golongan petani serta pembekal makanan di kawasan itu.
Semua arahan terkini mengenai sekatan Covid-19 di Toronto boleh disemak secara dalam talian seperti pemakaian pelitup muka, kapasiti saiz untuk berkumpul dan keperluan vaksinasi.
Pengunjung yang ingin menikmati hidangan dalam premis di bandar itu perlu menunjukkan bukti vaksinasi dan semua tempat seperti restoran, kedai runcit dan dewan acara mewajibkan pemakaian pelitup muka.
Pelancong yang datang ke Kanada perlu memuat naik bukti vaksinasi ke aplikasi ArriveCAN sebelum ketibaan.
Kanada buat masa ini hanya menerima kemasukan individu yang mendapat suntikan vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Johnson&Johnson.
Terbaharu, kerajaan negara itu turut meluluskan penerima vaksin Sinovac, Sinopharm dan Bharat Biotech memasuki negara itu tanpa kuarantin.-BBC