Tornado 'sapu bersih' enam negeri AS - Utusan Malaysia

Tornado ‘sapu bersih’ enam negeri AS

PEMANDANGAN udara menyaksikan puluhan kediaman dan premis perniagaan musnah di badai tornado di Mayfield, Kentucky. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAYFIELD: Puluhan tornado meranapkan harta benda di enam negeri di Amerika Syarikat (AS) dalam satu malam, menyebabkan sekurang-kurangnya 83 orang terbunuh dan ramai lagi hilang.

Presiden AS, Joe Biden menyifatkan bencana itu sebagai yang ‘terbesar dalam sejarah negara ini’.

“Ini merupakan tragedi besar dan sehingga kini kita tidak tahu berapa ramai yang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat tornado tersebut,” katanya.

Ketika keadaan cuaca semakin sejuk, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas, dengan harapan dapat menemukan lebih ramai mangsa yang terselamat.

Lebih 70 penduduk dipercayai maut di Kentucky dengan kebanyakannya merupakan pekerja di sebuah kilang lilin, manakala enam lagi terbunuh di gudang Amazon di Illinois ketika mereka memproses penghantaran barangan menjelang Krismas.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, tornado yang melanda negeri itu disifatkan ‘paling dahsyat yang pernah berlaku’ dan tidak menolak kemungkinan jumlah korban mungkin lebih tinggi daripada yang dijangka.

Katanya, dianggarkan terdapat kira-kira 110 pekerja di kilang lilin tersebut ketika ribut berlaku, selain menyaksikan bumbung premis itu tercabut.

Setakat ini, seramai 40 pekerja kilang itu sudah diselamatkan dan peluang untuk menemukan mangsa terselamat adalah tipis.

Sehubungan itu, Beshear mengisytiharkan darurat di negeri itu.

Selain itu, pekan Mayfield di barat Kentucky dilaporkan ‘ranap sepenuhnya’ apabila kawasan itu paling teruk terjejas dilanda tornado.

Pihak berkuasa menggambarkan keadaan di pekan dengan kira-kira 100,000 penghuni itu seperti ‘malapetaka’ dengan banyak rumah menyembah bumi, batang pokok tercabut dan diterbangkan serta kenderaan terbalik.

 

RAYUAN MINTA TOLONG

Dalam pada itu, beberapa pekerja kilang tersebut sempat memuat naik hantaran dalam Facebook yang merayu kepada orang ramai supaya membantu mereka dalam kadar segera.

“Kami terperangkap di sini, tolonglah bantu kami segera. Kami di kilang lilin di Mayfield. Tolong doakan kami selamat,” kata seorang pekerja wanita.

 

UMPAMA LETUPAN BOM

“Keadaan di Mayfield ketika ini seperti dibom, semuanya hancur,” kata seorang penduduk, Alex Goodman, 31.

Seorang lagi penduduk, David Norsworthy, 69, memaklumkan, tornado itu mencabut bumbung rumah dan garaj keretanya ketika mereka berlindung di dalamnya.

Selain itu, di sebuah tempat meletak kenderaan di pinggir Mayfield, pasukan sukarelawan mengumpul pakaian tebal, lampin pakai buang dan bekalan air untuk diserahkan kepada penduduk.

Tornado yang membadai Mayfield direkodkan memusnahkan kawasan seluas 320 kilometer, dipercayai kedua terkuat selepas puting beliung yang melanda Missouri pada 1925, menyaksikan 352 kilometer kawasan terjejas dan meragut 695 nyawa.

Di Earlington, Kentucky, kereta api dengan 27 gerabak tergelincir dari landasan akibat tornado tersebut, dengan satu daripada gerabak itu diterbangkan angin kuat.

 

KEMUSNAHAN BESAR

Laporan pihak berkuasa merekodkan sebanyak 30 tornado di keenam-enam negeri tersebut.

Sekurang-kurangnya 13 orang maut di beberapa negeri lain, termasuk di gudang Amazon di Illinois, menjadikan jumlah korban keseluruhan sehingga kini sebanyak 83.

Di Arkansas, seorang penduduk terbunuh apabila tornado memusnahkan sebuah rumah penjagaan di Monette.

Empat orang pula dilaporkan terkorban di Tennessee dan seorang lagi di Missouri, selain tornado turut membadai Mississippi.

Sehubungan itu, Biden berjanji untuk memberi bantuan sewajar yang mungkin kepada semua pihak terjejas akibat tornado tersebut.

Bencana alam yang berlaku juga menyebabkan setengah juta kediaman di beberapa negeri terputus bekalan elektrik.

 

PEKERJA AMAZON TERPERANGKAP

Satu daripada tornado kuat membadai sebuah gudang Amazon di bandar Edwardsville di Illinois, dengan 100 pekerja dipercayai terperangkap dalam premis itu.

Ketua Bomba Edwardsville, James Whiteford berkata, operasi mencari kini fokus untuk ‘mengeluarkan mayat mangsa’ dan tidak menolak kemungkinan angka korban akan terus meningkat.

Pengasas Amazon, Jeff Bezos menzahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah kepada keluarga pekerja yang terkorban. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya