WASHINGTON: Pentagon memaklumkan tiada mana-mana anggota mahupun pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) akan dipertanggungjawabkan atas serangan dron yang mengorbankan 10 orang awam di Afghanistan pada Ogos lalu.
Lapor BBC, semakan peringkat tinggi yang diterbitkan pada bulan lalu merumuskan tiada keperluan untuk mengenakan tindakan tatatertib.
“Ini kerana tiada undang-undang dilanggar dan tiada bukti salah laku mahupun kecuaian telah berlaku,” jelas semakan itu.
Beberapa media tempatan melaporkan semakan itu sudah diluluskan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, semalam.
Serangan dron pada 29 Ogos lalu berlaku pada hari-hari terakhir pemindahan keluar tentera AS dari Kabul selepas kumpulan Taliban merampas kawalan negara itu.
Seorang pekerja bantuan kemanusiaan dan sembilan ahli keluarganya termasuk tujuh anaknya terkorban dalam serangan tersebut.
Agensi perisikan AS percaya kereta milik pekerja bantuan kemanusiaan itu dikaitkan dengan kumpulan IS-K.
Namun, selepas serangan itu, Ketua Pusat Arahan, Jeneral Kenneth McKenzie menyifatkan serangan itu sebagai satu `kesilapan tragis’. – AGENSI