COPENHAGEN: Seramai enam pelanggan dan 24 pekerja Ikea terpaksa bermalam di gedung beli belah itu selepas terperangkap akibat ribut salji di Denmark.
Lapor Daily Mail, salji setebal 12 inci itu menyebabkan pelanggan terperangkap di Ikea Aalborg dan menyebabkan mereka terpaksa tidur di katil premis itu.
Disebabkan cuaca buruk itu, pelanggan dan pekerja Ikea diberikan peluang yang hanya datang sekali seumur hidup untuk tidur selama satu malam di ruang pameran barangan perabot itu.
Rakaman gambar menunjukkan mereka diberikan pilihan memilih katil dan tilam yang dikehendaki untuk tidur.
Pengurus premis itu, Peter Elmrose berkata, pelanggan dan staf bermalam di ruang pameran perabot di tingkat satu yang dilengkapi katil dan tilam.
Katanya, pelanggan diberikan pilihan memilih katil yang sesuai dan mereka menghabiskan sepanjang malam dengan makan dan menonton televisyen dalam premis tersebut.
Dilaporkan, individu yang bekerja di kedai permainan kanak-kanak bersebelahan turut tidak melepaskan peluang bermalam di premis tersebut selepas terkandas akibat cuaca buruk.
“Peluang yang diberikan ini lebih baik daripada tidur di dalam kereta.
“Kami sangat gembira apabila Ikea memberikan kebenaran kerana pengalaman seperti ini tidak mungkin dapat dirasakan lagi,” kata pengurus kedai permainan kanak-kanak, Michelle Barrett.