PARIS: Sebanyak 10 bencana alam dengan kemusnahan paling teruk tahun ini menyebabkan kerugian lebih AS$170 bilion (RM712 bilion), iaitu AS$20 bilion (RM84 bilion) lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Setiap tahun, badan kebajikan United Kingdom (UK), Christian Aid mengira kos insiden bencana alam seperti banjir, kebakaran dan gelombang haba berdasarkan tuntutan insurans dan melaporkan jumlahnya.
Pada 2020, badan itu mendedahkan 10 bencana alam paling teruk menyebabkan kerugian AS$150 bilion (RM628), manakala jumlah kerugian tahun ini meningkat sebanyak 13 peratus.
Jelas Christian Aid, pola peningkatan itu menunjukkan kes perubahan iklim akibat aktiviti manusia, dengan 20 bencana alam paling teruk tahun ini meragut sekurang-kurangnya 1,075 nyawa dan 1.3 juta hilang tempat tinggal.
Bencana alam ‘paling mahal’ tahun ini adalah Taufan Ida yang membadai timur Amerika Syarikat (AS) apabila menyebabkan kerugian sekitar AS$65 bilion (RM272 bilion).
Selepas membadai Louisiana pada hujung Ogos lalu, taufan itu bergerak ke utara AS dan mencetuskan banjir besar di New York City dan kawasan sekitarnya.
BANJIR DI EROPAH
Banjir besar yang meragut ratusan nyawa di Jerman dan Belgium pada Julai lalu menjadi bencana kedua termahal pada tahun ini dengan melibatkan kos sebanyak AS$43 bilion (RM180 bilion).
Dalam pada itu, fenomena cuaca sejuk (cold snap) dan ribut salji di Texas yang merosakkan stesen kuasa di negeri itu menyaksikan pentadbiran Texas terpaksa menanggung kerugian sebanyak AS$23 bilion (RM96 bilion).
Banjir di Henan, China pada Julai lalu pula menyebabkan kerugian yang dianggarkan sebanyak AS$17.6 bilion (RM73.8 bilion).
Bencana lain yang menyebabkan kerugian besar termasuk banjir di Kanada, fenomena sejuk melampau di Perancis dan siklon di India serta Bangladesh pada Mei lalu.
LAPORAN DI NEGARA KAYA
Sementara itu, Christian Aid mengakui laporan penilaiannya hanya melibatkan bencana yang berlaku di negara kaya dan membangun yang memiliki infrastruktur perlindungan insurans yang baik.
Jelas agensi itu, kesan kerugian akibat bencana yang berlaku di negara miskin sukar dikira kerana kebanyakannya tidak mempunyai pakej insurans.
Sebagai contoh, banjir di Sudan Selatan memberi kesan kepada kira-kira 800,000 penduduk dan proses pemulihan lebih sukar dilakukan kerana negara itu tidak mempunyai sistem insurans yang menyeluruh.
“Sejumlah bencana alam yang memusnahkan berlaku di negara miskin pada tahun ini, namun kebanyakan negara itu juga menyumbang paling sedikit dalam perubahan iklim dunia,” jelas Christian Aid. – AFP