KABUL: Taliban hari ini menetapkan golongan wanita yang ingin melakukan perjalanan jauh tidak boleh menaiki sebarang pengangkutan melainkan mereka ditemani saudara lelaki yang rapat.
Garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat itu turut menggesa semua pemilik kenderaan supaya hanya menawarkan kenaikan kepada golongan wanita yang memakai hijab.
“Golongan wanita yang melakukan perjalanan melebihi 72 kilometer tidak seharusnya ditawarkan sebarang kenaikan pengangkutan sekiranya mereka tidak ditemani oleh saudara lelaki rapat,” menurut jurucakap kementerian, Sadeq Akif Muhajir.
Garis panduan yang mula tular dalam media sosial itu dikuatkuasakan beberapa minggu selepas kementerian sama meminta stesen televisyen Afghanistan supaya menghentikan tayangan drama yang menampilkan pelakon wanita.
Kementerian itu juga meminta wartawan televisyen wanita supaya memakai hijab ketika menyampaikan laporan.
Sadeq juga memaklumkan, hijab menjadi keperluan sekiranya golongan wanita ingin menaiki mana-mana pengangkutan, selain pemilik kenderaan tidak dibenarkan membuka muzik di dalam kereta.
Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana syarat hijab tersebut memandangkan kebanyakan wanita Afghanistan memakai pakaian menutup aurat berserta niqab- AFP