BENGALURU: Sambutan Krismas di Sekolah Tinggi dan Kolej Inggeris Nirmala di daerah Mandya, Karnataka terganggu akibat sekumpulan aktivis Hindutva memberi ancaman terhadap pihak sekolah.
Lapor NDTV, Pengetua sekolah itu, Kanika Francis berkata, ahli kumpulan berhaluan kanan tersebut memecah masuk ke dalam bangunan sekolah semasa para pelajar sedang membuat persiapan sambutan Krismas.
“Setiap tahun kita mengadakan sambutan Krismas. Namun, disebabkan Covid-19 kita terpaksa batalkan.
“Tetapi golongan pelajar tetap bersemangat dan kami memutuskan mengadakan sambutan secara kecil-kecilan. Pelajar juga secara sukarela mengumpul duit dan menempah kek,” katanya.
Seorang ibu bapa pelajar memaklumkan kepada kumpulan berhaluan kanan itu kononnya pihak sekolah sedang menyebarkan fahaman ‘Kristianiti’ dengan menyambut Krismas dan bukannya acara berkaitan fahaman Hindu.
Selepas mengetahui mengenai sambutan tersebut, kumpulan itu memecah masuk ke kawasan sekolah dan mempersoalkan tindakan pihak pengurusan.