LONDON: Chef selebriti dari Turki, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae dikritik selepas berkongsi video pertemuannya dengan ibunya selepas dua tahun mereka terpisah kerana pandemik Covid-19.
Video itu sepatutnya mendapat reaksi positif daripada pengguna media sosial, namun sebaliknya berlaku apabila kebanyakannya mempersoalkan kenapa pemilik restoran mewah itu membiarkan ibunya hidup dalam keadaan sederhana sedangkan dia sudah kaya raya.
Salt Bae sebelum ini sudah pun menjadi perhatian pelbagai pihak selepas restorannya menghidangkan menu pada harga yang disifatkan tidak masuk akal.
Video yang dimuat naik itu ditonton lebih empat juta pengguna media sosial dalam tempoh 15 jam, selain memperoleh ribuan komen positif dan negatif.
Kebanyakan komen mencadangkan supaya chef selebriti itu patut berbelanja lebih untuk kesenangan ibunya, termasuk membelikan rumah yang selesa.
Seorang pengguna media menulis ‘Anda mempunyai duit yang banyak, tapi kenapa biarkan ibu anda tinggal di flat?’
Ada juga yang mempersoalkan kenapa Salt Bae tidak membelikan rumah baharu untuk ibunya selepas dua tahun tidak bertemu.
Selain itu, ada pengguna media sosial mengecam tindakan Salt Bae yang tetap tidak menanggalkan kaca mata hitamnya ketika berjumpa dengan ibunya.
‘Tolong tanggalkan kaca mata bila berjumpa dengan ibu anda’, komen seorang pengguna.
Sementara itu, terdapat beberapa komen positif yang menyokong Salt Bae dan menyatakan ibunya mungkin selesa dengan kehidupan yang sederhana.
‘Mungkin dia (ibu Salt Bae) selesa di rumah sekarang. Janganlah terlalu cepat menilai’, tulis seorang pengguna media sosial.