MADRID: Gunung berapi di Kepulauan Canary yang memuntahkan lahar di kawasan itu selama hampir tiga bulan kini dilaporkan `senyap’.
Namun, para saintis memberi amaran kepada penduduk di kawasan La Palma untuk terus berhati-hati kerana letusan masih boleh berlaku.
Lapor The Guardian, menurut pakar Institut Gunung Berapi Canary Islands, tiada aktiviti seismik dari gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma direkodkan sejak malam Isnin.
“Itu tidak bermakna letusan tidak akan berlaku lagi kerana sebelum ini situasi serupa pernah terjadi dan kemudian diikuti peningkatan dalam aktiviti.
“Ini adalah tempoh paling lama tanpa gempa bumi sejak letusan bermula,” katanya.
Sementara itu, ahli volkanologi, Ruben Lopez berkata, aktiviti minimum dikesan di gunung berapi itu yang meletus pada 19 September lalu.
“Semoga ia akan kekal begitu sahaja dan kita boleh memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya kepada RTVE.
Sebelum ini, letusan gunung berapi di La Palma memusnahkan kira-kira 3,000 bangunan, kawasan besar tanah ladang ditenggelami lahar sehingga memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan akibat letusan di kepulauan itu yang mempunyai kira-kira 80,000 penduduk. – AGENSI