LONDON: Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya menemukan ‘sejumlah besar takungan air’ selepas pesawat pengorbit mengelilingi planet Marikh, lapor CNN.
Pesawat pengorbit, The Exomars Trace Gas Orbiter yang dilancarkan sejak 2016 merupakan misi bersama antara agensi angkasa lepas itu dengan Roscosmos yang bertujuan mengesan air di Valles Marineris di planet tersebut.
Valles Marineris terletak di selatan khatulistiwa planet itu dengan suhu kebiasaannya tidak cukup sejuk untuk air kekal menjadi ais.
Saintis mendapati sistem ngarai itu 10 kali lebih panjang, lima kali lebih dalam serta 20 kali lebih luas berbanding Grand Canyon.
Air itu terletak di bawah permukaan lurah dalam bercerun tinggi yang curam dan dikesan oleh instrumen pengorbit FREND atau Pengesan Neutron Epitermal Resolusi Halus.
Instrumen tersebut berupaya memetakan hidrogen di 0.9 meter permukaan tanah planet Marikh.
Kebanyakan air di Marikh terletak di kawasan kutub planet dan kekal beku menjadi ais.
Pemerhatian itu dikumpulkan oleh pesawat pengorbit antara Mei 2018 hingga Februari tahun ini.
Sebelum ini, kapal pesawat pengorbit pernah mencari air di bawah permukaan Marikh dan mengesan sejumlah kecil di bawah debu planet itu.