LONDON: Golongan pakar berpendapat manusia boleh bertukar menjadi kanibal sekiranya sektor tanaman yang diusahakan tidak berjaya apabila kehidupan di angkasa lepas sudah bermula.
Prof. Charles Cockell dari Universiti Edinburgh berkata, kemungkinan Bumi menjadi planet yang tidak boleh lagi dihuni pada masa akan datang adalah disebabkan oleh krisis iklim yang berlaku ketika ini.
Katanya, keadaan itu sekali gus menyebabkan koloni kehidupan di angkasa lepas mula dirancang.
“Menjalani kehidupan di planet lain selain Bumi bukanlah mudah seperti yang disangka, biarpun terdapat banyak pihak merancang pelbagai perkara.
“Kita perlu melakukan penilaian dan ujian menyeluruh bagi memastikan rancangan membentuk koloni kehidupan di angkasa lepas berjaya dan munasabah.
“Sekiranya tiada perancangan teliti, tidak mustahil manusia boleh bertukar kanibal kerana bekalan makanan yang tidak mencukupi,” katanya.
Cockell juga menyatakan, biarpun mempunyai teknologi terbaik, komuniti manusia yang hidup terasing boleh terjejas dengan cepat.
Dalam pada itu, saintis Dr. Cameron Smith turut bersetuju bahawa makanan adalah kunci utama untuk menjamin kejayaan membentuk kehidupan di angkasa lepas.
“Perkara pertama yang perlu dipandang serius adalah soal bekalan makanan yang mencukupi dan berterusan.
“Mungkin kita boleh melakukan percubaan itu (mulakan kehidupan di planet lain) di bulan atau Marikh untuk pastikan adakah kita sudah bersedia untuk semua ini,” ujarnya.
Jelas beliau, kehidupan di angkasa lepas sama seperti orang zaman purba memulakan kehidupan mereka yang bermula dari sifar dan menjalani revolusi.