LONDON: Seorang guru mendakwa menemukan tempat kelahiran Robin Hood di belakang taman permainan di Sekolah Rendah Loxley, Sheffield.
Lapor Daily Mail, Dan Eaton percaya batu penanda purba dan salib berukir yang ditemukan itu menandakan kotej tempat pahlawan rakyat legenda itu dilahirkan.
Pendedahan itu dibuat dalam buku, Reclaiming Robin Hood yang ditaja oleh Majlis Sheffield sebagai sebahagian daripada kempen untuk ‘membawa Robin pulang’.
Namun, buku tersebut tidak mendapat sambutan begitu baik di Nottingham.
Hallamshire yang merupakan nama lama bagi Sheffield disebut dalam legenda zaman pertengahan sebagai tempat kelahiran Robin.
Rekod purba mendedahkan pahlawan, Robin of Loxley dilahirkan di Little Haggas Croft, Loxley, sekitar 1,160an.
Penulis bersama Dr. David Clarke dari Universiti Sheffield Hallam berkata, Loxley di Hallamshire dikenal pasti sebagai tempat kelahiran Robin berdasarkan dua sumber sejarah yang bermula sejak awal abad ke-17.
Terdapat perancangan untuk membina patung yang menggambarkan Robin sebagai seorang budak lelaki di pinggir bandar sebagai sebahagian daripada laluan pelancongan Robin Hood yang semakin popular di Sheffield.