WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sebenarnya dibelenggu ketakutan terhadap penularan varian Covid-19 Omicron yang sudah merebak ke Eropah dan Asia.
Susulan itu, Presiden AS, Joe Biden merayu kepada semua penduduk AS supaya mendapatkan suntikan vaksin bagi membendung jangkitan Omicron yang melanda dunia sebelum hari kedua Krismas.
“Sekiranya anda belum divaksin sepenuhnya, anda sepatutnya berasa sangat risau dengan situasi sekarang,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
AS turut dilanda wabak baharu itu dengan 180 kes direkodkan di kem pangkalan tentera.
Data menunjukkan satu daripada empat golongan dewasa di AS belum menerima suntikan vaksin.
Sebanyak 73 peratus keseluruhan kes baharu yang direkodkan di AS berpunca dari Omicron.
LANGKAH BAHARU
Disebabkan itu, Biden mengumumkan langkah baharu bagi membendung penularan varian itu dengan menghantar 500 juta kit ujian percuma bermula Januari depan.
Beliau malah memaklumkan lebih banyak kawasan percubaan dan pusat vaksinasi akan dibuka.
Biden turut mengerahkan 1,000 pegawai perubatan tentera dan jururawat bagi menyokong hospital yang sudah mengalami kesesakan.
“Seramai 200 juta penduduk sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya. Kita sudah bersedia dan lebih mengetahui.” katanya.
Langkah baharu yang diumumkan Selasa lalu, termasuk mengaktifkan klinik vaksinasi baharu yang dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan bermula minggu ini termasuk di kawasan titik panas , New York.
Dalam pada itu, usaha Biden menangani pandemik dikecam hebat kerana hanya memfokuskan usaha terhadap pemberian vaksin sekali gus memandang rendah kesan pergerakan anti vaksin di AS.
Biden menegaskan rakyat AS mempunyai kewajipan patriotik mendapatkan vaksin dan menyeru syarikat media sosial dan rangkaian televisyen supaya tidak ‘menjaja pembohongan dan membenarkan maklumat salah yang boleh membunuh pelanggan mereka sendiri’.
INSENTIF PUJUK RAKYAT
Kit ujian percuma sebanyak setengah bilion itu boleh ditempah secara dalam talian dan Biden meminta pihak penanggung insurans kesihatan menyediakan kit ujian tanpa kos kepada individu yang mempunyai perlindungan.
Dengan jumlah jangkitan yang semakin melonjak, pihak berkuasa tempatan mengambil beberapa langkah menggalakkan vaksinasi termasuk pemberian dos penggalak serta meningkatkan ujian calitan Covid-19.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasion mengumumkan pemberian insentif AS$100 (RM kepada penduduk yang mendapatkan suntikan dos penggalak sehingga hujung tahun ini.
Chicago pula mengenakan syarat kepada pengunjung supaya menunjukkan bukti vaksinasi untuk memasuki restoran, bar, gimnasium dan beberapa kawasan tertutup lain, berkuatkuasa 3 Januari depan.
Biden menjelaskan varian Omicron merebak sangat pantas sehingga menjangkiti rakyat AS yang sudah divaksin.
Bagaimanapun, varian itu berkemungkinan kecil menyebabkan penyakit teruk dan berbahaya kepada individu yang dijangkiti.
Jangkitan Omicron semakin meningkat dalam kalangan 61 peratus penduduk yang sudah divaksin sepenuhnya, termasuk 30 peratus yang sudah mendapatKAN dos penggalak.
Walaupun begitu, Biden tetap optimis dan memberitahu rakyat AS yang sudah divaksin dan mengikuti panduan menggunakan pelitup muka terutamanya semasa dalam perjalanan WAJAR berasa selesa semasa menyambut cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu.